Posted by & filed under Announcements.

Print Friendly

Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS) adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia, yang dianggotai oleh profesional daripada kalangan saintis, jurutera serta teknokrat Muslim. Matlamat PERINTIS ialah menyediakan satu wadah untuk menghubungkan serta menggembleng tenaga para saintis, jurutera serta teknokrat profesional Muslim di peringkat nasional dan antarabangsa dalam menjadikan sains sebagai satu wasilah untuk membawa rahmat kesekelian alam.  PERINTIS berusaha menerajui usaha untuk membangun, membudaya dan memanfaatkan sains demi kesejahteraan alam sejagat. Dalam mencapai misi dan visinya, PERINTIS berusaha memainkan peranan dalam memberi pandangan serta pendirian berkaitan sains dan Islam kepada masyarakat dan membentuk persepsi masyarakat yang positif terhadap Islam, menyemarakkan tasawur Islam dan mengetengahkan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia dan antarabangsa.

Untuk tujuan itu, PERINTIS dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menganjurkan Konvensyen Ke-2 sempena Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan pada 22 Mac 2014 bertempat di Dewan Kuliah 1.2, Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan,USIM, Nilai Negeri Sembilan. Kovensyen tahun ini bertemakan “Saintis Untuk Kesejahteraan Alam” bermula jam 10.00 pagi. Perkara dan isu yang akan disampaikan pada kali ini sangat menarik serta relevan dengan peranan saintis dan teknokrat. Presiden PERINTIS, Profesor Dr. Zainuddin Abdul Manan akan menyampaikan ucaptama bertajuk “Waqaf Ilmu Melampaui Sebutan”. Tajuk ini merupakan perkara baru yang sedang diketengahkan oleh PERINTIS untuk mengajak para akademia, penyelidik, guru-guru, ilmuan dan masyarakat untuk terus berkongsi ilmu mereka dalam pelbagai bentuk, baik melalui tulisan khususnya jurnal, buku dan makalah, atau melalui pengajaran dan pendidikan, atau rekacita, penemuan serta pengkomersialan produk-produk yang berupaya menambah nilai kehidupan, atau melalui perkhidmatan masyarakat. Semua ini dikira sebagai bentuk waqaf baru di samping harta dan wang ringgit. Usaha ini akan terus menyemarakkan lagi pengkongsian ilmu untuk membentuk sebuah tamadun baru melalui sumbangan para saintis dan teknokrat. Prof. Dr. Zainuddin juga merupakan salah seorang Top Scientists yang telah diumumkan oleh Akademi Sains Malaysia baru-baru ini.

Hj. Abdul Rashid Munir, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, IC Microsystems Sdn. Bhd. (ICmic) merupakan pemenang hadiah trofi dan wang RM1juta oleh MITI sebagai “Malaysia’s Top MostInnovative SME in 2010” akan menyampaikan ucaputama bertajuk Saintis Kaya, Saintis Miskin. Beliau juga merupakan pemenang “Telekom Malaysia Top Award for Innovation Excellence, 2012 dan Telekom Malaysia Top Award for Export Excellence, 2012”. Tajuk yang dipilih sangat bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Perkongsian pengalaman beliau sebagai seorang saintis usahawan yang sangat berjaya dalam industri elektronik peringkat global akan dapat  menyuntik semangat kepada para penyelidik dan generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan.

Ucaputama terakhir akan disampaikan oleh En. Bahrulmazi Edrak daripada Asia Pacific University (APU), merangkap ketua MyCommunity sebuah projek Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertajuk “Jangkauan Global Malaysia”. Beliau akan berkongsi pengalaman memberi pelbagai khidmat masyarakat  kesukarelawanan di beberapa negara termasuk di Gaza, Palestin. Konvensyen ini akan berakhir dengan Pelancaran PERINTIS Youth oleh  Saudara Muhammad Fikri Bin Ahmad, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan Tokoh Siswa yang telah memenangi Anugerah Menteri Pendidikan Malaysia 2013.

PERINTIS dengan sukacita menjemput semua anggota masyarakat yang berkaitan dengan bidang, serta kemajuan sains dan teknologi, serta wakil media untuk hadir dalam konvensyen ini.

 

Profesor Dr. Sahrim Haji Ahmad

Timbalan Presiden

Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS)

 

17 Mac 2014

15 JamadilAwal 1435 H