Posted by & filed under Announcements.

Print Friendly

Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS)

Kenyataan Media Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

 

Tragedi kehilangan pesawat MAS MH370 telah mengejutkan seluruh masyarakat Malaysia dan antarabangsa.  Setelah 9 hari berlalu, pihak keluarga terlibat dan masyarakat belum mendapat jawapan secara tuntas mengenai kejadian tersebut. Apakah MH370 terhempas, meletup atau dirampas? Atau apa sebenarnya yang telah berlaku?  Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS) sebagai sebuah pertubuhan profesional yang berdaftar di Malaysia, yang dianggotai oleh professional daripada kalangan saintis, jurutera serta teknokrat muslim juga turut merasa begitu sedih dan bersimpati dengan mangsa, keluarga serta saudara mara mereka atas kejadian yang berlaku.

Tragedi MH370 telah menyerlahkan daya kreativiti masyarakat dunia yang dapat dilihat dari penciptaan dan penyebaran gambar, video, permainan digital dan cerita-cerita berkaitan kehilangan MH370 yang dikarang atau disunting untuk tujuan santai atau berupa spekulasi terhadap apa yang sebenarnya telah berlaku. Proliferasi maklumat dalam bentuk multimedia dihasil menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) khususnya teknologi multimedia, disebarkan pula ke dunia siber melalui Internet di laman sosial seperti facebook  serta juga melalui smartphone terutamanya melalui twitter dan WhatsApp.

Teori ‘persuasive’ mengguna teknologi ‘persuasive’ telah berjaya menyakinkan penerima terhadap maklumat yang disebar hingga akhirnya terpedaya apabila menerima, percaya, yakin dan turut menyebarkan maklumat  palsu. Kecanggihan TMK mendorong pihak tertentu menggunakannya untuk tujuan yang tidak baik seperti contohnya memfitnah untuk menjatuhkan maruah individu atau organisasi, menyebar ideologi atau fahaman yang menyalahi akidah umat Islam dan sebagainya.

Dalam keghairahan kita membaca/melihat/menyebar semula komen-komen atau maklumat multimedia ini, kita lupa kepada mangsa tragedi, iaitu kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai pihak terbabit serta masyarakat dan negara kita amnya. Kita lupa menentusahkan maklumat tersebut sama ada ianya sahih, atau telah diputarbelitkan, atau semata-mata rekaan. Klip video parodi berkaitan yang menghina masyarakat Islam Malaysia turut kita sebarkan tanpa berfikir panjang.

Masyarakat perlu celik teknologi – memahami keupayaannya dan kegunaannya supaya boleh manangani isu berkaitan penggunaan negatif teknologi dan pada masa yang sama menyemarakkan penggunaan positif TMK untuk mendidik, menyampaikan maklumat sahih dan tepat di samping menghubung silatur Rahim.

Masyarakat juga perlu kembali kepada ajaran agama serta mematuhi etika penggunaan Internet (netiquette), iaitu satu panduan umum untuk semua pengguna, di samping mengamalkan etika  kemasyarakatan dan sedar bahawa TMK mempunyai kekuatan serta keupayaan yang tinggi berkaitan penyediaan, capaian dan sebaran maklumat berbentuk multimedia. Oleh itu, gunakanlah ia secara positif ke arah kebaikan.

 

PERINTIS, dalam menjadikan sains dan teknologi sebagai wasilah untuk membawa rahmat ke sekelian alam (Rahmat lil Alamin) memandang berat berkaitan etika penyampaian maklumat secara sensitif serta bertanggungjawab kerana akan mendatangkan implikasi yang serius terhadap kesejahteraan  masyarakat.

Dalam menghadapi krisis ini, PERINTIS ingin menyeru;

1.  masyarakat  untuk menyampaikan maklumat yang tepat dengan disertakan bukti-bukti yang kukuh. Allah s.w.t. telah berfirman dalam Al Qur’an, Surah Al-Hujurat:6 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Al Quran telah mendidk manusia akan kepentingan menyampaikan berita dengan bukti-bukti yang jelas, untuk mengelakkan ummat ditimpa kesusahan serta bala bencana akibat dari perbuatan tergesa-gesa serta rakus menyampaikan sesuatu berita tanpa usul periksa, serta tanpa bukti yang kukuh. Dalam keadaan belum ada bukti jelas kehilangan MH370, banyak pihak telah membuat pelbagai andaian serta komen masing-masing. Samada komen berkenaan berniat baik atau tidak, tanpa disertakan dengan sebarang bukti bukti teknikal yang jelas, disertakan verifikasi dari pihak berwajib, umum telah menyaksikan bahawa komentar-komentar yang dibuat telah menyebabkan kekeliruan, gangguan emosi serta keadaan kucar-kacir dalam usaha mencari serta menyelamat MH370.

2. orang ramai supaya tidak mencipta, menokok tambah, mamanipulasi atau menyebar maklumat yang tidak dipasti kesahihannya

Dalam keadaan sedemikian, diam (dalam erti kata mengelakkan dari menyebar maklumat) adalah lebih baik dari menuturkan perkara yang tiada asas sepertimana ajaran Rasul saw yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tamunya (Riwayat Bukhori dan Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa berlebih-lebihan dalam berbicara boleh membawa kepada kehancuran, sedangkan menjaga pembicaraan merupakan jalan keselamatan. Oleh itu, seorang muslim patut berbicara tentang perkara yang bermanfaat dan mencegah perkataan yang diharamkan dalam setiap keadaan.  Termasuk kesempurnaan iman adalah menghormati tetangganya dan memperhatikanya serta tidak menyakitinya. Dalam konteks penyampaian maklumat, “tetangga” boleh diertikan sebagai pihak yang terkesan oleh penyebaran maklumat.

3. pihak kerajaan untuk terus melipatgandakan usaha mencari pesawat MH370 dengan menggunakan pelbagai bantuan saintifik. Kemampuan Malaysia untuk mencari kehilangan pesawat ini sedang dinilai oleh masyarakat dunia dan akan meningkat kenyakinan kepada Malaysia.  PERINTIS juga menolak bantuan bomoh yang bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.

4. masyakat untuk terus berdo’a kepada Allah agar pesawat ini dapat ditemui dalam keadaan selamat

5. para saintis, cendiakawan, ilmuan serta NGO untuk turut menghulurkan sebarang bantuan  dalam  mencari pesawat tersebut.

 

Profesor Dr. Zainuddin Abdul Manan,

Presiden

Persatuan Saintis Malaysia (PERINTIS)

 

16 Mac 2014

14 Jamadilawal 1435H