Posted by & filed under Articles.

Print Friendly

Pada 27 haribulan Febuari 2011, PERINTIS telah memulakan siri Wacana Ilmiahnya yang pertama. Wacana ini telah diadakan di bilik E2-1-2, Fakulti Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa dan dihadiri oleh seramai 13 orang peserta. Bilangan yang kecil ini telah berjaya memanjangkan masa perbincangan dan soal jawab dengan perbincangan dua hala yang berterusan. Ini berlaku kerana pembentangan yang dibuat oleh Dr Mohd Farid Mohd Sahran, Timbalan Dekan (HEM) dari Fakulti Sains Kemanusian dan Ilmu Wahyu telah dapat menarik dan mengekalkan minat peserta. Beberapa komen peserta yang amat positif secara tidak lansung telah menentukan penilaian yang diberi. Banyak persoalan-persoalan penting yang dikupas khusus mengenai ilmu, sains dan pendidikan. Berikut adalah intipati dari pembentangan dari Dr Mohd Farid di bawah tajuk, ‘Pengukuhan Falsafah Ilmu dan Pendidikan dalam Islam’. Permasahalan hari ini ialah:

  1. Ilmu hari ini tidak berada pada kedudukan yang sebenar.
  2. Ilmu hanya dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu (knowledge is power),
  3. Ilmu tidak lagi dijadikan sebagai matlamat i.e. untuk mencari keredhaan Allah SWT atau menjadi insan salih (knowledge is virtue).
  4. Falsafah telah dikecilkan skopnya dan tidak lagi dianggap sebagai ’the mother of all sciences’.
  5. Sains juga sudah tidak bersifat inklusif sebagaimana ‘kurikulum’ yang terdapat pada zaman kegemilangan Islam. Hari ini sains juga diwarnai oleh budaya potivisme dan empirisme yang melampau disamping mengiktiraf pancaindera dan aqal sebagai sumber ilmu semata-mata. Maka wujudlah pertentangan antara agama dan sains, wahyu dan aqal.
  6. Justeru sains hari ini banyak terikut-ikut dengan framework Barat disamping sangat mengalu2kan penemuan sains yang menyokong kebenaran al-Qur’an di mana hasil penemuan boleh berubah dalam situasi yang berbeza.