Posted by & filed under Activities.

Print Friendly

FORUM WOMEN IN ACADEMIA : BALANCING THE ACT

graphAlhamdulillah dengan limpah rahmatNya majlis Forum Women in Academia : Balancing The Act berlangsung dengan jayanya pada 1 Februari 2013 , 20 Rabiul Awal pada penghulu sengala hari, hari Jumaat dalam bulan Rabiul Awal, bulan dimana rasa kasih kepada Rasulullah SAW diterjemahkan dalam pelbagai bentuk majlis.  Majlis anjuran Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS) ini telah dihadiri oleh lebih kurang 170 orang peserta dari kalangan pensyarah, pelajar siswazah dan semua wanita yang berminat tentang isu yang diutarakan. Program dimulakan dengan ucaptama dari PM Dr Salwani Daud, Naib Presiden PERINTIS, yang menerangkan mengenai PERINTIS serta visi, misi, aktiviti dan perancangan terkini. Forum dimulakan dengan perkongsian data perangkaan Kementerian Pengajian Tinggi 2011 berkaitan tren jumlah tenaga akademik wanita  mengikut kategori perjawatan.

-001Seterusnya pencerahan  mengenai ketokohan perawi hadith wanita dalam buku karangan Dr. Mohammad Akram Nadwi, Felo Penyelidik dari Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, bertajuk Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam turut dikongsikan. Kualiti dan integriti para perawi hadith wanita ini yang menyumbang 25% dari khazanah ilmu agama sangat menarik kerana tiada hadith yang diriwayatkan oleh perawi wanita dikategorikan sebagai hadith palsu. Jelas di dalam Islam wanita juga mempunyai peranan yang penting dalam menuntut ilmu dan penyebarannya.

Seterusnya forum dimulakan dengan perkongsian dari PM Dr Harlina Haliza Siraj yang membicarakan mengenai Cinderella complexity di mana wanita telah dididik dengan inferiority complex, tidak yakin dengan diri sendiri, keupayaannya yang sentiasa diragui dan diperkecilkan.  Cinderella tugasnya mencuci lantai, tidak mampu mengubah keadaannya dan berdikari serta sentiasa menunggu seorang Prince Charming yang akan menyelamatkannya. Sebagai ahli akademik, ianya adakah satu amanah untuk mendidik. Kita harus meninggalkan  rumah, anak dan suami dan pastikan ia adalah sesuatu yang berbaloi yang boleh diangkat sebagai satu ibadah bukan sekadar mengejar pangkat dan kedudukan.

Menurut Prof Rahinah Ibrahim pula, redha suami dan  berusaha menjadi contoh teladan pada anak-anak merupakan ramuan penting dalam menghadapi persepsi masysrakat dan sikap suami ke atas muslimah yang berpendidikan tinggi, berkerjaya dan bergaji lebih tinggi.  Perancangan hidup diri bersama pasangan yang jelas amatlah perlu dengan visi legasi yang ingin ditinggalkan Anak-anak juga harus diajar berdikari seawal mungkin agar pengurusan rumahtangga lebih tersusun.

-002Dalam meletakkan keutamaan peranan seorang muslimah sebagai ahli akademik, isteri, ibu dan juga anak  maka PM Dr. Hanim Salleh memberikan 3 tips penting iatu mengetahui tujuan kita hidup, mengenalpasti kemahiran yang perlu dibina serta mewujudkan sistem sokongan atau dengan kata lain “the right mindset, right skill and right support system.” Semua tanggung-jawab tersebut adalah amanah yang mempunyai ujian dan cabarannya tersendiri.

Maka, dalam apa keadaan sekalipun, hendaklah apa sahaja yang kita lakukan adalah dengan teknologi Bismillah, iaitu dimulakan dengan nama Allah. Maka, apabila sesuatu kerja dilakukan kerana Allah dan bertepatan dengan syari’at Islam, ianya akan menjadi satu ibadah. Kalau kita menulis makalah jurnal, membuat sorotan karya, mencari artikel di Internet , akan dikira sebagai ibadah jika matlamatnya jelas kerana Allah, untuk kemaslahatan Ummah kata PM Dr. Norita Md Norwawi selaku moderator forum.

noname (10)Isu pengurusan masa turut dibincangkan. Antara hadith yang telah dikongsikan ialah dari Sahih Muslim daripada Abi Hurairah r.a. katanya:

“Baginda Rasulullah s.a.w. suatu hari pernah bertanya sahabatnya: ‘Siapakah di antara kamu yang berpuasa hari ini?’ Abu Bakar r.a. menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bertanya lagi: ‘Siapakah di antara kamu mengiringi jenazah pada hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bertanya lagi: ‘Siapakah di antara kamu yang bersedekah hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Rasulullah bertanya seterusnya: ‘Siapakah dalam kalangan kamu menziarahi orang sakit pada hari ini?’ Abu Bakar menjawab: ‘Saya wahai Rasulullah.’ Lantas Rasulullah bersabda: ‘Sesiapa yang terkumpul padanya sifat-sifat seperti yang disebutkan maka beliau akan memasuki syurga.’”

-003Keberkatan masa Abu Bakar r.a. menyebabkan beliau boleh mealukan pelbagai kebaikan dalam satu pagi. Maka teknologi Bismillah itulah yang akan mendatangkan keberkatan pada masa kita. Kita dapat melaksanakan pelbagai perkara dalam 1 jam dibandingkan sesorang yang mempunyai masa yang tidak berkat, mungkin dihabiskan dengan menonton TV, bermain game atau Facebook dengan sia-sia. Oleh itu, isu tidak cukup masa tidak timbul jika keberkatan itu dicari.

Jika berlaku konflik dalam meletakkan keutamaan, maka kita perlu menghadapi dengan sikap yang positif. PM Dr Harlina Harlizah Siraj menyarankan agar kita menerima masalah, konflik atau tekanan sebagai satu keperluan bagi meningkatkan produktiviti. Ujian tersebut diberikan secara khusus dan bersesuaian oleh Allah kepada kerana Allah tahu kemapuan kita untuk mengendalikannya seperti firmah Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.

Hadapilah konflik dengan sikap “welcome, problem” bukannya “why me?” tetapi “why not me?”. Jadikanlah diri kita sebagi aset intelektual universiti kita bekerja, supaya organisasi kita merasa bangga dengan kehadiran dan sumbangan kita, menjadi insan akhir zaman kebanggaan Rasulullah SAW. Ujian juga merupakan satu titik untuk kita bermuhasabah dan berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah dengan istighfar, doa , merayu dan merintih memohon pertolongan Allah. Tanpa ujian, kita mungkin akan lalai dan alpa.

noname (6)Prof Rahinah Ibrahim turut berkongsi pengalaman beliau dalam menjawat jawatan sebagai seorang Profesor dan dilantik memegang jawatan penting dalam pengurusan Universiti iaiatu Dekan Fakulti Senibina dan Rekabentuk, UPM. Kita perlu menajamkan kemahiran komunikasi dalam berunding, berbincang, memberikan hujah yang rasional disamping menjadikan ilmu yang dipelajari ke dalam bentuk tindakan. “Knowledge is selected data in action”

Forum menutup tirai dengan nasihat dari PM Dr Hanim Salleh agar menjadikan Allah sebagai asbab untuk mencari ilmu dan penyelesaian pada Ummah melalui Sains, Teknologi dan Inovasi. Jelasnya, ilham datangnya dari Allah dan jadikan penemuan-penemuan itu sesuatu yang mendekatkan dan mengaitkannya dengan Allah.

Di akhir forum, PM Dr. Norita Mohd Norwawi berkongsi kata-kata mutiara dari Imam Ghazali:

“Ilmu yang meemberi manfaat itu ialah ilmu yang menambahkan perasaan takutmu kepada Allah Ta’ala; (ilmu) yang menambahkan celik mata hatimu terhadap keaiban-keaiban dirimu; (ilmu) yang menambahkan ibadahmu kepada Tuhanmu ‘Azza wa Jalla dengan sebab makrifatmu kepadaNya; (ilmu) yang mengurangkan gemar kasihmu kepada dunia; (ilmu) yang menambahkan gemar kasihmu kepada akhirat; (ilmu) yang membukakan pandangan mata hatimu terhadap kebinasaan-kebinasaan segala amalmu sehingga kamu dapat memeliharakan dirimu daripadanya; (ilmu) yang menampakkan kepada kamu segala perdayaan syaitan dan tipuannya”. – [Bidayatul Hidayah]

noname (5)Jika ilmu itu menyebabkan kita menjadi angkuh dan sombong, jauh dari Allah , maka itu bukan ilmuwan Muslimah dalam ertikata sebenar.

Program ditangguhkan dengan pengumuman Annual General Meeting dan Forum PERINTIS pada 23 Februari 2013 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia. Peserta yang hadir turut digalakkan mendaftar sebagai ahli PERINTIS dengan yuran diskaun sebanyak 50% sehingga 23 Februari 2013 sahaja.

Disediakan oleh: Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS)