shaf-post

Posted by & filed under Articles.

Print Friendly

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1 Syawal, 1436 Hijrah.

Di pagi Hari Raya Eidul Fitri, Hari Kembali kepada Fitrah serta Hari Kemenangan Umat Islam, ingatan saya melayang ke saat-saat saya bermusafir ke seberang laut pada pertengahan tahun 2014.

Segala puji bagi Allah yang telah mengilhamkan kepada saya tentang hikmah Ramadhan dan Syawal dari beberapa perspektif yang berbeza, melalui sebuah buku Bertajuk Chasing Daylight (Mengejar Mentari). Mei 2014, sejurus sebelum penerbangan 8 jam, bagi permusafiran saya selama 2 minggu, saya telah bergegas membeli buku ini di sebuah kedai buku di KLIA.

Chasing Daylight yang ditulis oleh Eugene O’ Kelly telah memberi saya satu perspektif yang segar tentang hikmah kehidupan. Dari penyampaian yang tulus, mengupas isi hati penulis berkaitan pahit-manis kehidupan serta detik-detik beliau mengharungi kematian; saya telah diilhamkan akan beberapa hikmah yang besar serta mendalam secara khususnya, disebalik kewajipan berpuasa serta perayaan hari kemenangan – Eidul Fitri, seperti yang di syariatkan oleh Islam.

Eugene O’ Kelly, penulis Chasing Daylight yang berusia 53 tahun, merupakan pengerusi serta CEO KPMG, salah sebuah firma perakaunan yang terbesar di Amerika Syarikat.

Beberapa bulan sebelum kematian O’Kelly, beliau menikmati kecemerlangan kerjaya serta kehidupan yang mewah disamping isteri, anak-anak, keluarga serta sahabat handai. Sebagaimana seorang yang berada di kemuncak kerjaya nya, O’Kelly sentiasa dalam kesibukan mengurus firma beliau serta kerjayanya, dengan merancang masa depan yang cemerlang puluhan tahun ke hadapan.

Pada bulan Mei 2005, beliau telah dikejutkan dengan diagnosis bahawa beliau menghidapi kanser otak tahap akhir, dan diberitahu bahawa beliau hanya tinggal antara tiga hingga enam bulan untuk hidup.

Kes-kes mengejut begini telah sering kita dengar. Nasihat kepada penghidap “kanser terminal” yang lazim kita dengar ialah supaya mereka menguatkan minda, melupakan kesengsaran yang dihadapi, dan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan hidup, bahkan meneruskan kerjaya secara “business as usual” supaya mereka beroleh kekuatan dalam mengatasi penyakit kanser yang diketahui amat mudah merebak dengan stress; mudah-mudahan mereka dapat hidup lebih lama…

Bagi O’ Kelly, lain pula kesnya. Beliau telah ambil tindakan yang diluar dari kelaziman. Beliau redha dengan apa yang berlaku pada dirinya. Sebaik sahaja menerima berita mengejutkan ini, beliau telah berhenti ke pejabat, malah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai CEO KPMG dengan serta merta untuk berlaku adil kepada firma, keluarga serta saudara-mara beliau. Meskipun agak terlewat, namun beliau memilih utk melaksanakan prioriti sebenar kehidupan bagi kebanyakan kita yang dibuai kelalaian dalam mengejar kesenangan hidup sehingga ada yang mengorbankan keharmonian, nilai, serta kemanusiaan.

O’ Kelly bertuah kerana beliau sekurang-kurangnya mengetahui bahawa beliau ada tiga bulan untuk hidup. Hakikatnya, hanya segelintir sahaja yang berpeluang untuk tahu bilakah kita dijangka menemui ajal.

“Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

Al-Qur’an: Al-A’raf:34

O’Kelly telah mengambil langkah bijak menggunakan kepakaran serta pengalamannya sebagai CEO untuk melaksanakan rancangan 3 bulan beliau untuk menemui penciptanya. Beliau telah mengambil langkah bina hubungan dengan isteri, anak-anak keluarga terapat termasuk ibu-bapa serta sahabat handai. Beliau telah membelanjakan harta untuk menderma serta membantu mereka yang memerlukan. Beliau juga menghabiskan masa dengan pencipta, muhasabah diri, serta bersungguh-sungguh membersih hati, serta nasihat-menasihati kearah kebaikan. Bunyi “familiar”?

Umat Islam amat bertuah kerana di anugerahkan Ramadhan dan Syawal. Pada kedua-dua bulan ini, umat Islam dikurniakan peluang terbesar utk laksanakan keutamaan tazkiah (pembersihan) serta memperbaiki diri secara total termasuk melaksanakan hablum min-Allah (hubungan dengan Allah) serta Hablum min an-Naas (hubungan sesama manusia) secara intensif. Umat Islam tidak perlu menunggu di diagnos dengan penyakit yang boleh membawa maut. Justru, inilah salah satu sebab mengapa umat Islam diharuskan bergembira serta merasa bertuah atas kehadiran, lebih lebih lagi kejayaan melalui Ramadhan dan Syawal kerana, bila ajal menampakkan bayangnya secara tiba-tiba, dengan izin Allah, mereka akan lebih bersedia.

Pendek kata, menjalankan kehidupan yang seimbang dengan melaksanakan perkara menjadi keutamaan hidup setiap individu tidak wajar ditangguhkan hingga ke hari esok kerana, rata-rata, ajal-maut itu akan datang tanpa sebarang peringatan.

Menyebut tentang menjalankan kehidupan yang seimbang, setiap diri mempunyai azam untuk hijrah kearah kebaikan. Semakin usia meningkat, azam ini semakin tebal serta kuat. namun azam untuk memperbaiki diri adalah perkara yg sering ditangguhkan perlaksanaannya sehingga tiba suatu masa serta ketika yang “sesuai”.

Ramai yang terus dilalaikan dengan tugas seharian dan saban hari gagal melaksanakan azam yang baik ini, sehingga akhirnya terlewat.

Bagi saya, sebulan Ramadhan adalah terutamanya untuk perbaiki diri melalui hablum min-Allah (hubungan dengan Allah) serta Hablum min an-Naas (hubungan sesama manusia) secara intensif.

Ramadhan memberi peluang mengukuh rohani/diri, membersih hati. Muhasabah diri. Mujahadah utk hilangkan penyakit hati. Ramadhan juga adalah peluang terbesar untuk laksanakan azam perbaiki diri serta melaksanakan kehidupan yang seimbang yang sentiasa kita tangguhkan.

“Barangsiapa yg berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah, maka Allah akan ampunkan dosa2nya yg telah lalu.”

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Syawal pula adalah masa utk meraikan kemenangan Ramadhan, dan usaha untuk perbaiki diri melalui terutamnya, hablum minan Naas – hubungan sesama manusia. Umat Islam ada sebulan peluang utk laksanakan keutamaan ini. Syawal memberikan peluang untuk kita berusaha perbaiki diri dengan membina hubungan baik sesama manusia, supaya selepas Syawal, kita akan lebih mudah melakukannya. Inilah masa untuk membersihkan hati dengan memohon maaf, dan memaafkan sesiapa sahaja, baik yang muda maupun yang tua. Inilah saatnya untuk membina sikap rendah diri, bersangka baik, dengan mulakan ziarah, dan tidak menunggu orang lain menziarahi.

Dalam usaha mengeratkan silaturrahim melalui ziarah melalui rumah terbuka yang menjadi uruf masyarakat Melayu, ada yang menangguhkan ziarah dengan alasan menunaikan sunnah serta mengambil fadhilat berpuasa 6 hari, menurut hadis;

“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” – Hadis Riwayat Muslim

Sayugia diingatkan bahawa puasa bukanlah penghalang ziarah menziarahi yang bertujuan utama mengeratkan silarurrahim. Ingatlah bahawa, tujuan utama ziarah syawal bukanlah untuk menikmati juadah raya. Kiranya tujuan utama ziarah adalah menikmati hidangan yang lazat-lazat, maka ada baiknya untuk dikunjungi restoran-restoran kerana yang demikian itu tidak mengundang kecil hati tuan rumah, kerana melihat tetamunya lebih cenderung kepada hidangannya dari bertemu serta berinteraksi dengannya.

Ibnu Umar RA diriwayatkan telah tetap hadiri jemputan walaupun berpuasa.

Ini berdasarkan hadis

“Jika dijemput sesaorang daripada kamu ke majlis jamuan, maka penuhilah jemputan itu. Jika dia sedang berpuasa, doakanlah tuan rumah itu. Dan jika tidak berpuasa, maka makanlah.”

Hadis Riwayat Muslim.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri dari saya dan keluarga, Semoga Allah menerima (segala amalan) dari kami serta dari kamu. Mohon kemaafan dzahir dan batin

Best Regards,

Professor Dr Zainuddin Abdul Manan,
Presiden,
Persatuan Saintis Muslim Malaysia

Dekan,
Fakulti Kejuruteraan Kimia
Universiti Teknologi Malaysia