Posted by & filed under Articles.

Print Friendly

Cahaya yang bersumberkan matahari merupakan satu daripada ekosistem yang disediakan oleh Allah SWT untuk kemenafaatan makhluk alam sejagat.  Proses fotosintesis memerlukan tenaga cahaya untuk membolehkan tumbuhan hijau menghasilkan makanan sendiri.

Fotosintesis melibatkan dedaun hijau yang mempunyai klorofil [1] menyerap tenaga cahaya dan menggabungkan karbon dioksida serta air untuk menghasilkan oksigen dan glukosa.

Produk yang terhasil amat bermenafaat untuk kelestarian kehidupan makhluk di alam sejagat ini.  Proses ini amat menepati dengan firman Allah:

“Dia telah yang menjadikan untuk kamu api dari pohon kayu hijau, maka seketika itu juga kamu menyalakan api darinya” (Yaasin, 36:80).

Pada awal penurunan ayat ini, mereka hanya mengaitkan kayu kering yang dijadikan sebagai bahan bakar tetapi dengan penemuan sains terkini pada abad ke-20, api dikaitkan dengan oksigen sebagai bahan sampingan yang terhasil daripada proses fotosintesis.

Fenomena cahaya telah lama dikaji oleh saintis dan mereka mampu untuk membuat eksperimen tentang sifat-sifat cahaya serta mengeluarkan beberapa teori tentang cahaya.  Cahaya yang membolehkan sesuatu dapat dilihat, tanpa cahaya, suasana menjadi gelap gelita dan tidak berupaya melihat objek dalam kegelapan.

Terkini cahaya yang dijadikan sebagai medium untuk penyampaian data dalam serat optik membolehkan perpindahan maklumat berlaku sepantas kelajuan cahaya itu sendiri (299792.5 km/s).  Kelajuan ini juga telah disebut dalam al-Quran:

“Dialah (Allah) yang menciptakan Matahari bersinar dan Bulan bercahaya dan ditetapkannya tempat bagi perjalanan Bulan itu, agar kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan ” (Yunus, 10:5).

“Dialah (Allah) yang menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan masing-masing beredar dalam garis edarnya” (Anbia, 21:33).

Boleh juga baca penulisan Dr. Mansour Hassab-Elnaby tentang kiraan kelajuan cahaya, c = 299792.5 km/s dengan merujuk kepada ayat-ayat tersebut [2].

“Dia mengatur urusan dari langit ke Bumi, kemudian (urusan) itu kembali kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut perhitunganmu” (Sajdah, 32:5).

Dapat disimpulkan jarak satu hari bagi urusan Allah adalah bersamaan dengan 1,000 tahun atau 12,000 bulan. Ada yang beranggapan itulah kelajuan cahaya bagi mengendalikan urusan tersebut. Dalam tafsir Ibn Katsir [3], amalan di bawa ke langit dalam sekelip mata di mana jarak antara bumi dan langit adalah perjalanan 500 tahun dan ketebalan tujuh lapisan langit adalah 500 tahun.

Teori tentang Cahaya

Saintis berpandangan cahaya mempunyai dua bentuk iaitu gelombang dan partikel.  Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham (965-1040) telah melakukan eksperimen kamera lubang jarum untuk membuktikan cahaya bergerak lurus dan memasuki mata.  Cahaya yang terpancar ke objek dan dipantul ke mata, diproses oleh otak (tenaga cahaya bertukar menjadi isyarat elektrik).  Al-Haitham berpendapat cahaya terdiri daripada partikel, begitu juga Isaac Newton (1642-1727) dan telah mengemukakan pandangan tentang pembiasan cahaya apabila melalui medium yang berbeza.

Robert Hooke (1635 – 1703) menjadi saintis pertama yang memperkenalkan cahaya dalam bentuk gelombang. Teori ini kemudiannya disokong oleh Christian Huygens (1629 – 1695) yang menyatakan bahawa cahaya adalah gelombang-gelombang kecil yang tersebar daripada gelombang yang terdapat pada punca cahaya. Namun demikian, pandangan ini dipertikaikan oleh Isaac Newton.

Manakala Michael Faraday (1791 – 1867), James Clark Maxwell (1831 – 1879) dan Frank Hertz (1857 – 1894) berpegang yang cahaya adalah terdiri daripada gelombang elektromagnetik yang mempunyai frekuensi dan berkaitan dengan medan elektrik dan magnetik.

Albert Einstein (1879 – 1955) telah mengeluarkan teori yang cahaya terdiri daripada foton (localized particles) atau kuanta. Setiap gelombang yang ada frekuensi dikaitkan dengan sekumpulan foton yang mempunyai tenaga.  Pandangan ini pun selari dengan teori cahaya terdiri daripada partikel.

Dapatan teori sebegini telah membantu kajian seterusnya contohnya aplikasi cahaya untuk kegunaan penghantaran maklumat dalam serat optik.  Fenomena bentuk atau sifat cahaya akan terus melalui evolusi selagi kajian dijalankan.  Pelbagai teori akan terus diterbitkan dan kemungkinan semuanya benar, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui setepat-tepatnya hakikat cahaya.

Cahaya Allah Menerangkan Kegelitaan

Cahaya telah disebut secara jelas dalam Al-Quran iaitu dalam Surah an-Nuur (24) ayat 35 di mana Allah berfirman:

“Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya) yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Beberapa kata kunci yang menarik dalam ayat tersebut ialah i) lubang tak tembus, ii) pelita, iii) kaca, iv) bintang bercahaya, v) pohon yang berkahnya, vi) timur dan barat, vii) cahaya dan ix) api.

Cahaya Ilahi yang di luar jangkauan pengetahuan manusia.  Ayat ini (Surah An-Nuur: 35) memberi perumpamaan untuk mendekatkan kefahaman manusia ketika kita tidak akan mampu mengkaji punca dan hakikat cahaya Allah [4].  Pelita dalam kaca akan tetap terus semakin cerah dan gemerlap kerana terlindung daripada tiupan angin (lubang tak tembus).

Pohon zaiton yang mempunyai banyak menafaatnya, minyak yang baik dan berupaya memberi cahaya yang sangat terang.  Pokok zaiton yang tumbuh bukan timur dan bukan barat yang membawa maksud, ia ditanam di kawasan lapang atau di tempat tinggi dan sentiasa mendapat cahaya matahari dari pagi hingga ke petang [3]. Pokok sebegini mampu menghasilkan minyak zaiton yang baik dan memberi cahaya yang sangat terang [3], [5].  Minyak yang baik ini dikaitkan dengan al-Quran dan syariah yang menjadi panduan dalam mendapat cahaya kebenaran ini [3].

Dalam Tafsīr Ibn ‘Abbās [6], cahaya di atas cahaya bermaksud lampu mengeluarkan cahaya, kaca juga mengeluarkan cahaya dan minyak pun dapat mengeluarkan cahaya.  Seseorang yang beriman telah diberikan Allah cahaya di dalam hatinya dan seterusnya berpegang kepada ilmu dan petunjuk yang didapati daripada Al-Quran.  Keperluan ilmu pengetahuan melalui panduan Al-Quran akan mendapat cahaya Allah untuk memastikan mereka yang terpilih sentiasa berada di jalan kebenaran.

Kita sentiasa mesti mendekatkan diri kepada Allah, supaya cahaya akan diberikan kepada kita dan terus menerima cahayaNya hingga ke hari kiamat.  Dalam ayat yang lain:

“Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya, supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman” (Al-Ahzab, 33: 43).

Mereka yang terpilih untuk mendapat cahaya Ilahi, bebas daripada kegelapan dikira sebagai mendapat rahmat daripada Allah SWT. Moga di bulan Ramadhan 1432H, kita akan menjadi manusia yang terpilih oleh Allah untuk mendapat cahayaNya dan seterusnya tergolong dalam mereka yang sentiasa mendapat rahmatNya.

Rujukan:

  1. Yusuf al-Hajj Ahmad, Sains Moden Menurut Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah, (cetakan ke-3). Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Johor. 2011, ms. 591-593
  2. Dr. Mansour Hassab-Elnaby, A New Astronomical Quranic Method for The Determination Of The Greatest Speed C,http://www.islamiska.org/e/Speed.htm
  3. Alama Imad ud Din Ibn Kathir, Tafsir Ibn Katsir,    http://www.quran4u.com/Tafsir%20Ibn%20Kathir/PDF/024%20Nur.pdf<
  4. Sayyid Qutb, Tafsir Fi Zhilalil Quran, Jilid 8 (terjemahan), Gema Insani Press, Jakarta. 2004.
  5. Sayyid Abul Ala Maududi – Tafhim al-Qur’an – The Meaning of the Qur’an, Surah An-Nur: 35.
  6. Tanwīr al-Miqbās min Tafsīr Ibn ‘Abbās, attributed to: ‘Abdullāh Ibn ‘Abbās dan Muḥammad al-Fīrūzabādī, diterjemahkan oleh Mokrane Guezzou, http://www.altafsir.com/Books/IbnAbbas.pdf. Royal Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought, Amman, Jordan.ms. 391