Kenyataan Media
Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS)

MENYOKONG PEMANSUHAN PERUNTUKAN SEKSYEN 15(2)(C) AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI 1971 (AUKU)

11 Disember 2018/ 3 RabiulAkhir 1440H

PERINTIS amat menyokong dan gembira dengan YB Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang bersungguh-sungguh ingin melahirkan generasi mahasiswa yang berwibawa apabila Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Pemansuhan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 akan membolehkan mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

PERINTIS berkeyakinan dengan pemansuhan peruntukan seksyen yang melarang mahasiswa berpolitik dalam kampus akan dapat membentuk sikap tanggungjawab dan keupayaan memberi analisis dengan fakta yang lebih tepat dalam sebarang isu yang dikemukakan. Kebebasan sebegini adalah seiring dengan aspirasi PERINTIS yang sentiasa menyokong perlaksanaan ke arah rahmatilil alamin (rahmat ke seluruh alam sejagat).

Apabila seseorang mahasiswa mendapat kebebasan berfikir, bersuara dan menulis, mereka akan menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam membawa sebarang isu dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Selain daripada itu, mereka dijangka akan menjadi lebih beradab apabila bersuara segala ketidak puasan hati kerana tiada kekangan lagi daripada pihak kerajaan dan universiti.

PERINTIS amat berharap semua mahasiswa dapat mengguna kebebasan ini dengan penuh disiplin. Dan akhirnya mereka akan menjadi pemimpin masa hadapan yang lebih kreatif dan inovatif dalam memberi penyelesaian kepada permasalahan masyarakat.

PROF DR SALWANI MOHD DAUD
Timbalan Presiden
Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS)